PJ : Saya ucapkan ribuan terima kasih jika anda membaca pendapat peribadi yang ingin saya kongsikan bersama-sama dengan anda-anda semua. Saya hanya akan memaparkan komen-komen yang beretika sahaja.


Tuesday, September 23, 2008

Syed Hamid sahkan Raja Petra ditahan di Kamunting

23/09/2008 3:38pm
RANTAU PANJANG 23 Sept. — Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengesahkan pengendali laman web Malaysia-Today, Raja Petra Raja Kamaruddin telah ditahan selama dua tahun mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dihantar ke Kem Tahanan Kamunting, Taiping.
Syed Hamid berkata semalam beliau sendiri telah menandatangani perintah penahanan Raja Petra untuk tempoh dua tahun itu. “Semalam, saya telah menandatangani penahanan Raja Petra untuk dua tahun ke Kamunting setelah berpuas hati dengan alasan yang cukup untuk menahannya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sempadan Malaysia-Thailand di sini, hari ini.
Raja Petra telah ditahan di bawah ISA kerana didakwa boleh mengganggu dan mengancam keselamatan serta ketenteraman awam pada 12 September lalu. Selain Raja Petra, dua lagi yang turut ditahan adalah anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan wartawan Tan Hoon Cheng tetapi Teresa dan dan Tan telah dibebaskan.- BERNAMA
Pendapat PJ
Rasanya selepas Teresa Kok mengadu yang beliau mengatakan bahawa beliau di jamu makanan seperti anjing semasa di tahan di bawah ISA. dan mungkin RPK dapat menjamu makanan kelas hotel selama dua tahun di Kamunting. Pada pendapat saya penahanan terhadap RPK di bawah adalah wajar kerana beliau sering kali mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan. Elok benarlah yea ..

Friday, September 19, 2008

Pastikan PAS terus bergerak ikut landasan Islam

Pendapat PJ

Agak kelakar apabila saya membaca baris-baris terakhir artikel yang di terbitkan oleh Harakah

" Sama-samalah kita bekerja untuk Islam, kita pertahankannya dan dalam waktu yang sama kita berkawan dan bertahaluf dengan sesiapa sahaja yang menghormati dan memahami dasar dan prinsip perjuangan kita itu. " "

hmmm adakah DAP akan bersetuju mengenai perkara diatas ? Adalah lebih afdal jika kenyataan ini disokong oleh Karpal Singh, Lim Kit Siang dan pemimpin HINDRAF ...

Thursday, September 18, 2008

Pelbagai pihak terus bidas Anwar

Utusan Malasyia 18 September 2008
Oleh NOR ZAINAH NORDIN dan FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR 17 Sept. – Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup menggunakan apa sahaja cara termasuk menghancurkan politik negara bagi memastikan kemaruk kuasanya menjadi kenyataan.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd. Mustapha Ishak berkata, usaha membentuk kerajaan baru yang cuba dilakukan oleh Anwar dengan cara lompat parti hanya menggugat kestabilan negara dan membawa kesusahan kepada rakyat.

Beliau yang menyifatkan Anwar sebagai ‘gila politik’ kerana mencadangkan perubahan kerajaan yang gagal pada 16 September berkata, soal pembentukan kerajaan telah pun selesai diputuskan melalui pilihan raya umum 8 Mac lalu.

“Fokus kini adalah mentadbir negara. Kenapa perlu dibangkitkan lagi soal pembentukan kerajaan? Anwar hanya membuat kacau. Dia pengacau kepada sistem pentadbiran negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dekan Fakulti Kajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu diminta mengulas mengenai dolak-dalik Anwar mengenai penubuhan kerajaan pakatan pembangkang yang didakwa berlaku pada 16 September tetapi gagal menjadi kenyataan.

Menurut Dr. Mohd. Mustapha, hanya orang bodoh akan melayan kerenah kegilaan politik dan kerakusan kuasa pemimpin seperti Anwar.

Beliau mempersoalkan punca sebenar Anwar menimbulkan isu pembentukan kerajaan baru sedangkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu telahpun dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

“Hina sangatkah menjadi Ketua Pembangkang sedangkan fungsinya penting dalam sistem demokrasi kita? Laksanakanlah tugas itu sebaik-baiknya,’’ kata beliau.

Daripada berterusan melaung-laungkan pembentukan kerajaan baru, lebih baik Anwar membuktikan keberkesanan pakatan pembangkang yang dipimpinnya, tambah beliau.

Beliau berkata, fakta yang perlu diterima ialah sekalipun pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan melalui perbuatan 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berpaling tadah, kerajaan baru itu sangat lemah dan rapuh.

“Apa yang boleh dibuat oleh kerajaan yang lemah itu selain menyusahkan rakyat dan negara,’’ katanya.

Selepas pilihan raya 8 Mac lalu, BN mempunyai 140 kerusi di Parlimen manakala pakatan pembangkang menguasai 82 kerusi.

Pensyarah Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ahmad Nidzammuddin Sulaiman pula berkata, Anwar cuba mengambil alih pemerintahan kerajaan menggunakan cara yang sama pada era Tun Dr. Mahathir Mohamad tetapi gagal.

“Cubaannya kali ini lebih besar dan lebih membahayakan kerana ia menyaksikan pelbagai kesan malah perhatian dunia juga tertumpu kepada perkembangan politik di Malaysia.

“Bagi Anwar, dia seolah-olah nampak dekat kuasa yang ingin dikejarnya tetapi hakikatnya ia jauh,” katanya.

Dr. Ahmad Nidzammuddin memberitahu, sikap Anwar selepas rancangan 16 September gagal menjadi kenyataan “membuatkan isu pembentukan kerajaan pakatan pembangkang menjadi bahan ketawa.”

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Politik Universiti Sains Malaysia, Dr. Sivamurugan Pandian berkata, sejak dulu lagi Anwar merupakan seorang yang terburu-buru untuk mencapai matlamatnya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu, kata beliau, suka memperlecehkan lawan yang tidak pernah dianggap sehebat dirinya.

“Dia akan lakukan apa saja, dalam apa cara sekalipun, untuk mencapai kepentingan dan matlamat peribadi,’’ kata beliau.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain mengibaratkan Anwar sebagai ‘pemangsa’ yang akan terus menangkap mangsanya walau dengan apa cara sekalipun.

Beliau berkata, walaupun cara yang dilakukan melampaui moral, Anwar tidak akan berhenti begitu sahaja malah Ketua Pembangkang itu menunjukkan beliau tidak mempunyai perasaan malu setelah rancangannya gagal.

“Betul atau tidak betul caranya, berjaya atau gagal, itu soal lain. Yang penting matlamat menghalalkan cara,” katanya.


Pendapat PJ

AnWAR seperti tidak tentu arah dan mempergunakan apa-apa cara sekalipun demi mencapai cita-citanya walaupun terpaksa mengadaikan bangsanya sendiri. Jika dahulu semasa beliau menjawat Pengerusi ABIM dan menteri kabinet beliau di lihat sebagai seorang penjuang bangsa Melayu akan tetapi sekarang ini beliau telah 100% berubah dan bersetongkol dengan mereka-mereka yang tersangat iri hati dengan bangsa kita, keistimewaan kita. Adalah malang apabila Anwar berjaya memperdayakan sebilangan bangsanya supaya berfikiran seperti beliau. Sebelum kemerdekaan Tanah Melayu di jajah dan hasil bumi kita di kaut oleh Bristish dan selepas kemerdekaan ekonomi kita di jajah oleh mereka-mereka dan sekarang ini pemikiran kita pula mahu di jajah supaya bersikap lebih liberal yang memungkinkan kita merempat di tanah air sendiri.

Biarkan AnWAR dengan cita-citanya dan kita sebagai rakyat khususnya bangsa melayu harus maju ke hadapan memperbaiki dan mempertingkatkan taraf pendidikan dan ekonomi kita di samping mempertahankan hak ketuanan kita seperti yang termaktub di dalam perlembgaan Malaysia. Semestinya kita harus hormat dan menghormati satu sama lain dan mereka juga harus mengakui bahawa perlembagaan 153 tidak sesekali dipertikaikan.

Tuesday, September 16, 2008

pergi ke pasar beli santan
hendak di masak kari ikan tenggiri
memang beliau seorang jantan
berlakon pandai dan juga menari

memang beliau seorang jantan
berlakon pandai dan juga menari

gula-gulakan rakyat sebagai alatan
untuk memenuhi cita-cita sendiri

gula-gulakan rakyat sebagai alatan
untuk memenuhi cita-cita sendiri
gunakan katak sebagai loncatan
katak bodoh pentingkan diri


gunakan katak sebagai loncatan
katak bodoh pentingkan diri
anak melayu bangsa watan
lupa sejarah , lupa harga diri

anak melayu bangsa watan
lupa sejarah , lupa harga diri
apa nak dikenang,apa nak di cari
hapus sudah maruah bangsa sendiri

Anwar Nak Jumpa Pak Lah Bentuk Kerajaan ??

Pendapat PJ:

Kalau dah cukup bilangan katak-katak, bentuklah kerajaan. Apa susah !!!

Monday, September 15, 2008

Tempoh 24 jam detik paling mendebarkan Najib Razak

Ibrahim Ali: Rakyat telah diperbodohkan PKR

15-09-2008 05:30:14 PM
KOTA BAHARU: Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata rakyat negara ini telah diperbodohkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kononnya pakatan pembangkang akan membentuk kerajaan baru esok.
Ibrahim berkata rakyat sepatutnya menilai apa yang telah dilakukan PKR dan sewajarnya peralihan kerajaan dilakukan secara demokrasi seperti melalui pilihan raya.
"Apa yang saya boleh katakan rakyat sebenarnya telah diperbodoh-bodohkan oleh PKR dan saya tidak nampak asasnya akan berlaku perkara seperti itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum ini, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali mencanangkan Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 16 Sept iaitu esok.
Berikutan itu, lima pemimpin PKR ke Taiwan bagi memujuk anggota Parlimen BN yang sedang dalam rangka lawatan ke negara itu untuk menyertai mereka.
"Ini betullah buang masa dan buang duit sematamata nak ke Taiwan bagi tujuan itu dan saya rasa sangat sedih dengan tipu helah seperti ini," katanya. Ibrahim berkata rakyat sebenarnya sudah membuang masa mereka melayan karenah pemimpin parti itu termasuk Anwar. BERNAMA

Saturday, September 13, 2008

Tiga ditahan ISA

Oleh RAMLI ABDUL KARIM, UMAVATHI RAMAYAH dan TAN MING WAI
Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok (atas kiri), pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, dan wartawan wanita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng di kenakan tahanan ISA. Bawah: Tan Hoon Cheng (tengah) dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam, ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, malam tadi.
KUALA LUMPUR 12 Sept. – Tiga orang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga tengah malam ini dalam satu operasi polis ke atas beberapa individu yang terbabit mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama. Mereka ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok; pengendali laman web Malaysia T day, Raja Petra Kamarudin dan wartawan wanita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng. Mereka ditahan mengikut Seksyen 73 (1) akta berkenaan. Mengikut peruntukan itu, mereka boleh ditahan sehingga 60 hari tanpa perbicaraan sebelum Menteri Dalam Negeri membuat keputusan sama ada penahanan itu perlu dilanjutkan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan penahanan ketiga-tiga mereka. Menurut Ismail, penahanan di bawah ISA itu dibuat “untuk membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut dan bagi membendung sebarang tindakan yang boleh memecahbelahkan perpaduan kaum dan persengketaan agama.” Difahamkan, beberapa orang lagi akan ditahan di bawah akta yang sama dalam masa terdekat.
Teresa, 44, ditahan oleh sepasukan anggota polis yang menaiki tiga kereta peronda ketika Ahli Parlimen Seputeh merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kinrara itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di ibu negara pukul 11.20 malam ini. Penahanan ahli politik yang masih bujang itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan bahawa beliau mengeluarkan arahan melarang azan dilaungkan menggunakan pembesar suara di masjid-masjid dan surau.
Wakil rakyat DAP itu dilaporkan turut cuba menghapuskan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda nama jalan di ibu negara dan mencadangkannya digantikan dengan tulisan Cina serta Tamil. Sebelum itu, pada pukul 8.40 malam, polis menahan Hoon Cheng mengikut akta yang sama di rumahnya di Taman Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Wartawan wanita itu yang dilihat menangis kemudian dibawa ke Balai Polis Bukit Mertajam untuk disoal siasat sebelum diiringi oleh pegawai polis ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Penahanan tersebut dipercayai ada kaitan dengan laporan wartawan itu dalam akhbar Sin Chew Daily yang memetik kenyataan kontroversi Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail baru-baru ini yang mendakwa orang Cina Malaysia adalah pendatang di negara ini. Hoon Cheng, 33, yang masih belum berkahwin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan telah berkhidmat dengan Sin Chew Daily sejak sembilan tahun lalu.
Dalam kes Hoon Cheng, laporan beliau itu menimbulkan kontroversi di seluruh negara yang akhirnya menyebabkan Ahmad digantung keahlian UMNO selama tiga tahun dalam satu mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO Rabu lalu. Hari ini, akhbar Sin Chew Daily diberi surat tunjuk sebab oleh Kementerian Dalam Negeri berhubung isu yang sama. Tiga hari lalu, akhbar itu mempertahankan sepenuhnya Hoon Cheng.
Dua buah lagi akhbar, The Sun dan Suara Keadilan terbitan Parti Keadilan Rakyat (PKR), juga diberi surat tunjuk sebab berhubung isu berasingan. Terdahulu, pada pukul 1.10 petang ini, Raja Petra, 58, ditahan oleh sepasukan 10 anggota polis di rumahnya di Bukit Rahman Putra Sungai Buloh, Selangor.
Raja Petra ditahan di bawah ISA selepas polis berpuas hati bahawa beliau menghina Islam dan Nabi Muhammad melalui laman web Malaysia Today. Sepasukan polis yang diketuai oleh Asisten Supritendan Mohd. Yusof Chem turut merampas 15 keping cakera padat dipercayai mengandungi ceramah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan 16 naskhah buku.
Mereka dilihat meninggalkan rumah pengendali blog itu kira-kira pukul 1.50 petang.
Ismail dalam kenyataannya berhubung kes Raja Petra berkata, penahanan itu dibuat selepas polis menerusi pemantauannya berpuas hati bahawa pengendali laman blog itu telah melakukan tindakan-tindakan yang mencetuskan kegelisahan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Tangkapan ini terpaksa dibuat bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut berhubung tindakan beliau,” katanya. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, polis menahan Raja Petra dan dua yang lain kerana tindakan-tindakan mereka yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Dalam kes Raja Petra, katanya, pengendali blog itu mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menyebabkan pertelingkahan dan permusuhan agama di negara ini. Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Raja Petra sebelum ini pernah diberi teguran dan amaran oleh polis beberapa kali namun beliau langsung tidak menghiraukan teguran tersebut. “Selepas melakukan pemantauan terhadap segala aktiviti beliau sejak kebelakangan ini, polis terpaksa menahan pengendali blog terbabit,” katanya.
Pada 5 Ogos lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama tiga lagi agensi Islam membuat laporan polis ke atas Raja Petra ekoran beberapa artikel dan komentar pembaca dalam blog itu yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW. Isteri Raja Petra, Marina Lee Abdullah ketika ditemui di rumahnya memberitahu, penahanan Raja Petra memang sesuatu yang dijangkakan.
“Tapi saya langsung tidak menyangka dia (Raja Petra) akan ditahan di bawah ISA,” ujarnya.
Raja Petra sebelum ini pernah ditahan ISA pada 11 April 2001 kerana terbabit dalam gerakan reformasi menyokong Anwar Ibrahim. Ketika itu beliau merupakan web master laman FreeAnwar.com. Beliau juga dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan berkaitan Akta Hasutan

Thursday, September 11, 2008

Oil falls despite Opec output cut

Brent crude has fallen back below $100 a barrel as signs of weaker global oil demand has offset Opec's surprise decision to reduce output levels. Despite initially rising following Opec's announcement, Brent lost $1.37 to $98.87 a barrel. US crude also ended lower, falling 68 cents to settle at $102.58. After talks in Vienna, Opec's member states decided to cut daily production levels by 520,000 barrels, starting within 40 days. 'Changing lifestyles' While the news initially saw oil prices rise, they then fell back, helped by the International Energy Agency (IEA) cutting its estimate for global oil demand this year and next. The IEA - which had asked Opec to keep its output unchanged - said consumers in industrial nations were changing their lifestyles in response to high prices. Oil's fall from the record prices seen in July has helped the US dollar, which hit an 13-month high against the euro on Tuesday. The price of crude has since fallen by nearly 30% as a global economic slowdown has reduced demand for oil. Opec members will re-assess production levels when the meet again at the end of the year. The 13-nation group, whose members include Saudi Arabia, Iran and Venezuela, has around two-thirds of the world's known oil reserves. Hurricane background Energy analyst Antoine Halff said Opec was worried about falling global oil demand. "The ministers appear genuinely concerned that the bottom is falling out of global demand," he said. "Their panic is a testament to how soft the market has become. It is likely to grow even softer." Another factor oil traders are having to consider is the latest hurricane in the Gulf of Mexico. Hurricane Ike has strengthened to a category two story and is on target to hit the Texas coast on Saturday. Some oil facilities in the Gulf of Mexico have been evacuated as a precaution.

Sunday, September 7, 2008

Di Petik Dari Utusan Malaysia (Ahad 7 Sept 2008 ) : Ancaman kepada Melayu


Dr. Sham Rahayu, Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Entah mengapa sejak kebelakangan ini sudah timbul ‘keberanian’ luar biasa daripada pelbagai pihak untuk mempertikaikan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Antara perkara yang semakin lantang menjadi perdebatan atau perbahasan ialah mengenai Perkara 153 berhubung keistimewaan orang Melayu.

Walaupun pihak-pihak yang berbuat demikian amat memahami ia sesuatu yang sensitif namun mereka tidak mempedulikan itu semua.

Sebaliknya satu demi satu hujah mereka keluarkan bagi menggugat apa yang sudah terpahat dalam Perlembagaan. Persoalannya wajarkah perkara seumpama itu terus menjadi pertikaian? Tidakkah ia sepatutnya dihormati memandangkan ia adalah satu Perlembagaan negara?

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan NORAINI ABD.RAZAK, Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz secara terus terang menyifatkan, apa yang terjadi sekarang kerana orang Melayu dilihat lemah.

Malah katanya, kegagalan orang Melayu untuk berhujah mengenai intipati apa yang terkandung dalam Perlembagaan juga menjadi punca pihak lain mampu mempertikaikan apa yang sudah diperuntukkan.

Selain itu pada pandangan Dr. Sham Rahayu sikap generasi baru yang mahu memperjuangkan kesamarataan antara kaum juga turut menyebabkan segala yang ditetapkan oleh Perlembagaan mengenai orang Melayu semakin ‘terancam’.

Mingguan: Kenapa sejak kebelakangan ini perkara-perkara dalam Perlembagaan terus dipertikaikan?

DR. SHAM RAHAYU: Kalau kita mengkaji sentimen sesetengah pihak pada masa ini ia memang menunjukkan mereka mahu melihat apa yang ada dalam Perlembagaan dan kemudian mempertikaikan kewujudannya tanpa mahu memahami kenapa ia diwujudkan. Apa yang sepatutnya orang ramai lakukan ialah bertanya kenapa sesuatu perkara dalam Perlembagaan itu diwujudkan, contohnya dalam soal hak keistimewaan orang Melayu yang terkandung dalam Perkara 153.

Kalau melihat sejarah bangsa kita dan pembentukan Perlembagaan sesetengah perkara itu harus diterima, ertinya tidak boleh dirobek atau diubah semata-mata untuk mengikut perubahan semasa. Bagi saya, dalam demokrasi ada ruang bagi membolehkan perkara dalam Perlembagaan diperbincangkan tetapi bukan sampai ke tahap yang boleh menggugat Perlembagaan itu sendiri. Ini termasuklah perbincangan yang menjurus ke arah provokasi seperti hendak membuang peruntukan Perlembagaan yang sedia ada.

Apakah peruntukan Perkara 153 dalam Perlembagaan itu keterlaluan melindungi orang Melayu sehingga menjejaskan bangsa-bangsa lain?

DR. SHAM RAHAYU: Kalau kita mengkaji Suruhanjaya Reid, ia mengatakan kalau kita mengambil hak Melayu secara tidak terancang ia boleh meruntuhkan pembinaan bangsa dan negara. Atas sebab itu saya tidak bersetuju jika ada pihak mengatakan bahawa Perkara 153 memberi kelebihan melampau kepada orang Melayu.

Ini kerana sistem tersebut mesti bergerak dengan hak-hak munasabah terhadap bangsa lain. Suruhanjaya Reid merujuk salah satu terma Perlembagaan ialah menjaga kedudukan Melayu dan Islam serta menjaga hak-hak munasabah terhadap bangsa lain, jadi apabila kita menjaga kepentingan Melayu ini tidak bermakna kita mengabaikan bangsa lain. Untuk membina sebuah negara yang aman dan damai serta mewujudkan kestabilan politik kita memerlukan kesaksamaan dan keadilan.

Tetapi apa yang ditonjolkan seolah-olah orang Melayu mendapat segala-galanya sedang bangsa lain tidak mendapat apa-apa?

DR. SHAM RAHAYU: Saya berpendapat mengikut Perlembagaan orang Melayu diberi sedikit kelebihan atau keistimewaan tetapi dari segi aplikasinya mungkin tidak begitu ketara. Adalah tidak adil untuk mengatakan orang Melayu mendapat segala-galanya. Cuba lihat siapa yang mengawal ekonomi kita?

Kalau kita mengkaji laporan Suruhanjaya Reid mengenai Perlembagaan, kelebihan kepada orang Melayu diberikan sejak 1948. Pada tahun itu, orang British sendiri tidak pernah menyentuh soal Melayu dan Islam. Ini kerana ia menjadi subjek yang terlalu sensitif kepada British. Namun dalam masa yang sama terdapat terma bahawa bangsa lain tidak diabaikan.

Kenapa baru sekarang semua ini hendak dipertikaikan sedangkan ia sudah termaktub dalam Perlembagaan?

DR. SHAM RAHAYU: Punca utama kerana orang Melayu tidak pandai berhujah, kita tidak memahami sejarah sendiri. Kelemahan orang Melayu sekarang ialah tidak memahami kenapa diwujudkan keistimewaan dalam Perlembagaan. Atas sebab itulah kalau kita lihat ada di kalangan orang Melayu sendiri menentang Perkara 153.

Kalau kita merujuk pembinaan bangsa, adalah jelas semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum berhak untuk merasa bangga menjadi rakyat negara ini tetapi ia tidak bermaksud kepentingan Melayu harus dilunturkan. Kita memahami sejarah menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara yang dianggotai oleh pelbagai bangsa tetapi kita tidak boleh mengenepikan kerangka asas pembinaan negara ini iaitu orang Melayu.

Seharusnya kita memberi pemahaman kepada bangsa lain kenapa terdapat peruntukan tertentu mengenai Melayu dan Islam dalam Perlembagaan.

Dalam soal Perkara 153 bukan mudah ia ditarik begitu sahaja. Ini kerana ia mempunyai hubung kait dengan peruntukan-peruntukan lain seperti keistimewaan raja-raja.

Kalau soal Melayu hendak ditarik balik apa yang raja ada lagi? Sedangkan institusi raja-raja bertanggungjawab terhadap dua perkara iaitu Melayu dan Islam. Institusi raja-raja dibentuk oleh Perlembagaan dengan tujuan mewujudkan kestabilan politik. Tetapi kalau soal Melayu ditarik dalam Perkara 153, ertinya raja pun tidak akan wujud. Keadaan itu kalau berlaku sudah tentulah akan menjejaskan kestabilan politik negara. Bagaimanapun kalau boleh soal mengenai Melayu ini tidaklah dibincangkan dalam suasana terlalu panas atau penuh provokasi. Tetapi dalam masa yang kita sudah tidak mampu menyembunyikan segala-galanya di bawah karpet. Masyarakat kita sudah mengetahui isi kandungan Perlembagaan. Oleh itu orang Melayu terutama pemimpin kita harus pandai berhujah dan memahami Perlembagaan tanpa sentimen politik.

Kita harus pisahkan antara isu politik dengan isu Perlembagaan. Kita perlu berbincang soal Perlembagaan secara akademik dan intelektual bukan provokasi. Saya lihat dari semasa ke semasa semakin banyak peruntukan Perlembagaan mengenai orang Melayu diganggu gugat. Dahulu ia bermula dengan Perkara 152 iaitu mengenai bahasa Melayu dan sekarang Perkara 153 pula.

Kalau pencabulan ini terus dibiarkan, ia akan menyebabkan porak peranda kerana sistem pentadbiran negara dan kestabilan politik akan terancam.

Dalam soal pemain dalam menjayakan peruntukan sedia ada, apakah ia berpunca dari kelemahan pelaksanaan?

DR. SHAM RAHAYU: Saya bersetuju kalau orang mengatakan masalah kita bukan dengan sistem tetapi pemain. Bagi saya membiarkan peruntukan-peruntukan itu dibincangkan secara provokatif mendatangkan masalah lebih besar. Dalam soal ini pemain harus memastikan peruntukan itu dijalankan sebagaimana yang dimaksudkan dalam Perlembagaan. Selain itu, mereka juga harus memantau sejauh mana peruntukan itu dilaksanakan.

Para pemain dalam sistem ini perlu berubah dan melihat balik apa yang mereka buat itu bertepatan dengan tujuan atau objektif Perlembagaan atau tidak. Ini bagi mengelakkan Perlembagaan hanya menjadi kosmetik.

Kalau Perlembagaan itu hendak dihormati ia harus dilaksanakan, masalahnya tidak ada penguatkuasaan jika ia dilanggar. Walaupun Perlembagaan bukanlah kanun keseksaan tetapi kita sudah membina satu konvensyen atau adat Perlembagaan yang harus dihormati.

Atas sebab itu kita memerlukan penguatkuasaan yang tegas ke atas pencabulan Perlembagaan. Kalau kita dilihat lemah dalam soal ini sudah pasti ada pihak yang akan melakukan provokatif untuk menolak apa-apa yang termaktub dalam Perlembagaan.

Di kalangan generasi muda adalah jelas mereka tidak menghiraukan mengenai pencabulan Perlembagaan ini?

DR. SHAM RAHAYU: Tidak dapat dinafikan bahawa generasi baru memperjuangkan kesamarataan. Saya setuju dengan pandangan bahawa akibat daripada perjuangan inilah berlakunya pencabulan Perlembagaan. Justeru kita harus melihat agenda di sebalik tindakan berkenaan.

Adakah asas kesamarataan itu menjadi benda yang kukuh? Kenapa kita analogi sistem kesamarataan kita dengan barat. Apa yang ada di negara kita terlalu unik. Sepatutnya kita pergi kepada keadilan bukan kesamarataan.

Saya rasa faktor utama yang menyebabkan kekeliruan ini berlaku kerana orang tidak faham apa konsep keadilan dalam sistem Perlembagaan kita. Kalau hendak bagi semua orang sama rata itu tidak adil. Lihatlah sejarah bangsa mana-manapun sudah pasti ada sesetengah golongan harus diberi keutamaan. Apa yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang Melayu tidaklah melampau. Jadi tidak perlulah lagi dipersoalkan mengenai hak keistimewaan orang Melayu ini. Bagi saya mereka yang membangkitkan isu berkenaan mempunyai agenda politik.

Kenapa orang Melayu selalu dilihat bersalah apabila mempertahankan hak Melayu?

DR. SHAM RAHAYU: Apologetik. Orang Melayu terlalu berdiplomatik dengan sifat kemelayuan, sedangkan Melayu sebenarnya kuat dan hebat, tetapi sekarang ini kita terlalu apologetik. Sikap apologetik dan diplomatik, sikit-sikit minta maaf menyebabkan orang naik tocang. Sikap ini kalau dilakukan terlalu kerap orang akan bosan. Saya rasa faktor utama mengapa hak orang Melayu di sisi Perlembagaan sering dipersoalkan ialah tidak tegas dari segi penguatkuasaan dan sifat apologetik. Inilah dua karakter yang menyebabkan Perkara 153 dipijak, menyebabkan kedudukan orang Melayu dipijak sehingga orang Melayu rasa bersalah dan malu untuk mengaku kita sebenarnya ada keistimewaan.

Sekarang ini ada pula Melayu liberal yang juga mahu supaya diwujudkan kesamarataan?

DR. SHAM RAHAYU: Kelompok ini yang menjadi racun, saya sebut ini adalah Melayu yang makan Melayu, Melayu yang menjadi racun kepada Perlembagaan. Tidak mustahil mereka yang mencetuskan semua ini. Mereka yang nak jadi juara memperjuangkan hak sama rata, tanpa memahami sejarah Perlembagaan secara semangatnya. Mereka melihat Perkara 153 itu seolah-olah membawa pandangan buruk kepada Melayu, mereka rasa keistimewaan itu macam bantuan kepada orang cacat, benda yang buruk kepada orang Melayu. Ini menjadikan orang memijak Perlembagaan. Mereka ini tali barut yang menjadikan Perkara 153 dan orang Melayu sendiri bencikan keistimewaan Melayu. Kita tidak menafikan perkembangan mutakhir ini menunjukkan wujud dua Melayu iaitu Melayu liberal dan Melayu Perlembagaan..

Kita lihat suara untuk kesamarataan ini semakin berkumandang tetapi ia seolah-olah menjurus kepada bidang tertentu sahaja?

DR. SHAM RAHAYU: Masalah ini tidak akan selesai selagi kumpulan yang tidak berpuas hati ini menyatakan dengan jelas apa sebenarnya yang mereka mahukan. Kita lihat dalam pengambilan anggota polis terbuka kepada semua kaum tetapi adakah kaum bukan Melayu berminat menyertainya. Kita tidak pasti apa benda dan sektor mana yang mereka inginkan. Kalau nak juga keistimewaan Melayu ditarik balik tunjukkan bahawa keistimewaan ini telah menafikan mereka daripada mendapat hak-hak yang munasabah termasuk dari sudut ekonomi dan politik. Tunjukkan, barulah kita fikir Perlembagaan itu layak diubah.

Adakah Doktor melihat ada agenda lain di sebalik timbulnya cakap-cakap mengenai hak keistimewaan orang Melayu ini?

DR. SHAM RAHAYU: Saya melihat isu bukan agenda saja-saja atau demi kepentingan bangsa tetapi lebih kepada agenda politik. Sepatutnya semua pihak mesti membezakan antara politik dengan Perlembagaan. Jika kita lihat kedudukan bukan Melayu terutama dari sudut politik dan ekonominya amat memberangsangkan dan bukan sedikit kalangan mereka yang kaya raya di sebalik wujudnya Perkara 153 ini. Saya tidak nampak apa salahnya dalam sistem itu, cuma mekanisme itu yang perlu dilihat balik dan saya rasa Perkara 153 tidak boleh dikompromi dalam membina bangsa Malaysia. Kita tidak boleh potong Perkara 153 sampai bila-bila pun, kerana bangsa kita memerlukan safeguard (pengawalseliaan) iaitu Perlembagaan untuk mengawal Melayu.

Kita mesti ingat di dunia hanya di Malaysia yang wujud Melayu begini, di Indonesia sudah tidak ada, di Afrika Selatan juga tidak ada identiti Melayu sebegini. Kita yang masih tulen dan mempunyai keistimewaan kalau hendak dilihat Melayu di Singapura apa agaknya yang mereka ada.

Mungkinkah semua ini berpunca daripada kelalaian di pihak pelaksana Perlembagaan itu sendiri?

DR. SHAM RAHAYU: Saya tidak fikir kerajaan semasa begitu prihatin dengan apa yang terkandung dalam Perlembagaan. Jika diikutkan misalnya Perkara 152 mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi kerajaan memperkenalkan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Walaupun untuk menarik balik dasar itu melibatkan kerugian dari aspek perbelanjaan kewangan tetapi kalau hendak menghormati Perlembagaan kita kena kembali kepada dasar lama. Jika tidak orang akan melihat dasar Kabinet bercanggah dengan Perlembagaan, bercanggah dengan sejarah dan kehendak Suruhanjaya Reid itu sendiri.

Saya percaya jika banyak sangat orang persoalkan sesuatu dasar yang ada kait mengait dengan Perlembagaan maka pasti ada silapnya. Semua pihak patut lihat balik apa yang tak kena dan sepatutnya kita pulihkan perkara-perkara yang tidak betul ini secepat mungkin.

Berikut petikan Perkara 153 Perlembagaan

Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa- apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

Jangan prejudis kepada perkara 153
Senarionya sekarang Melayu cuma mempertahankan hak dalam Perlembagaan tetapi pada masa yang sama bukan Melayu menuntut tambahan hak, adakah ini bermakna akan berlaku kesamarataan yang sekali gus menjejaskan hak orang Melayu?

DR. SHAM RAHAYU: Apa yang kita faham akan sampai satu tahap di mana demokrasi seumpama barat yang menekankan kesamarataan akan berlaku di negara ini. Tetapi untuk proses tersebut menjadi kenyataan tidak diketahui bila masanya. Saya percaya tempoh 51 tahun biar pun ada pihak yang berpendapatan sudah tiba masanya untuk kesamarataan namun hakikatnya tempoh tersebut belum mencukupi. Paling penting untuk kita fikirkan ialah apabila tiba masa tersebut apa akan jadi kepada Perlembagaan kita?

Bukankah ketika itu Perlembagaan akan menjadi kosmetik?

DR. SHAM RAHAYU: Itu yang saya maksudkan. Kalau sampai ke tahap itu pasti akan timbul cadangan supaya Perkara 153 dimansuhkan daripada Perlembagaan. Mungkin kita akan sampai ke satu tahap di mana orang Melayu sendiri rasa tidak perlu lagi keistimewaan atau pun sampai satu tahap kerajaan kata kita tidak mampu mempertahankan Melayu lagi, mungkin satu kerajaan lain yang akan berkata begitu, maka ketika itu lepaslah orang Melayu macam anak ayam. Apabila berlaku keadaan seperti itu tentunya akan menimbulkan ketidakstabilan politik. Sebabnya saya melihat sejarah, mungkin orang kata apa yang dah berlaku biarkan berlalu, tetapi ada juga yang berkata, jika kita tidak belajar dari sejarah maknanya kita akan mencipta sejarah kejatuhan kita.

Walaupun Perlembagaan kita dikatakan living document, boleh berubah dari semasa ke semasa tetapi sebenarnya kesamarataan itu yang Suruhanjaya Reid mahu. Kalau kita baca semula laporan Suruhanjaya Reid sampai satu tahap tidak akan ada beza antara kaum-kaum di negara ini. Saya rasa ia terlalu ideal. Sampai macam mana kulit saya tidak akan jadi putih macam orang Cina, orang India tidak akan jadi sawo matang macam orang Melayu. Masalahnya sampai ke satu tahap kita bimbang Perlembagaan menjadi perhiasan dan ini yang perlu dimainkan oleh pihak yang menjaga Perlembagaan ini.

Jangan sampai satu tahap sama rata dan itu boleh membahayakan Perlembagaan dan kestabilan politik kita. Kita mencipta satu bentuk sistem Perlembagaan yang unik dan tiada mana-mana contoh Perlembagaan di dunia yang mempunyai ciri-ciri Perlembagaan kita. Cuma Malaysia sahaja di dunia ini ada Yang di-Pertuan Agong. Apabila saya baca laporan Suruhanjaya Reid saya tertanya-tanya adakah mereka faham keadaan di Malaysia ini atau mereka menggunakan minda Inggeris untuk menilai bangsa-bangsa yang ada.

Boleh Doktor berikan contoh wujudnya minda Inggeris dalam Suruhanjaya Reid?

DR. SHAM RAHAYU: Contohnya mereka berkata keistimewaan orang Melayu untuk substantial number of years – banyaknya itu amat subjektif, adakah 50 tahun cukup untuk membina bangsa kita, adakah 50 tahun cukup untuk orang Melayu matang. Kalau diikutkan sekarang memang orang Melayu itu matang tetapi dari segi keupayaan yang sebenar bolehkah orang Melayu berdiri. Sebab itu Perkara 153 ini tidak boleh dilepaskan kerana menyedari orang Melayu belum sampai ke tahap itu. Saya tertanya-tanya apa sangat yang bukan Melayu hendak sebenarnya. Adakah mereka tidak mendapat peluang pekerjaan, adakah mereka tidak mendapat kepentingan ekonomi, apa sangat yang disusahkannya tentang Perkara 153 ini. Lebih menyedihkan lagi apabila ada orang Melayu sendiri tidak mahu mempertahankan kedudukan Melayu.

Adakah ia mungkin disebabkan oleh kaum-kaum lain percaya bahawa kaum Melayu diberi keistimewaan keterlaluan sehingga hak menjejaskan hak mereka?

DR. SHAM RAHAYU: Kalau hendak kata mereka tidak mendapat legitimate interest (perkataan yang digunakan dalam Suruhanjaya Reid), kita sendiri lihat kedudukan kaum-kaum lain di Malaysia sekarang ini. Adakah mereka tidak diberi peluang sedangkan mereka boleh ‘survive’ malah dalam banyak bidang mereka amat berjaya. Kalau Melayu tidak diberi kedudukan ini adakah Melayu boleh survive, itu yang penting dan mesti kita tengok.

Saya juga tertanya-tanya adakah selama ini negara kita tidak aman dengan adanya keistimewaan orang Melayu. Adakah kita tidak gembira berada di Malaysia hanya kerana adanya 153 ini. Persoalannya apa susah sangat dengan 153.

Dalam buku Chinese Dilemma dan Chinese Contributions mereka bangkitkan tentang peranan mereka, sememangnya kita terima peranan mereka membangunkan Bank Negara misalnya, tapi mereka kena ingat ini adalah negara mereka dan itu adalah sumbangan mereka. Apa yang mereka tidak dapat di negara ini. Sistem pendidikan misalnya kita lihat Singapura hanya ada satu sistem, tetapi di sini semuanya ada. Perpaduan bangsa kita seperti yang dikatakan oleh Syed Naquib Al-Attas umpama jalur-jalur besi yang tidak boleh nak dicairkan kerana adanya prejudis. Adakah 153 menjadi satu isu untuk mereka prejudis kepada Melayu, saya rasa itu tidak adil untuk bangsa Melayu.

Sepatutnya mereka kena tunjukkan sejauh mana benarnya Dasar Ekonomi Baru telah menyekat legitimate interest mereka, kalau Lim Kit Siang kata orang Cina tidak diberi peluang sila perjelaskan peluang apa.

Saturday, September 6, 2008

16 September 1963 VS 16 September 2008



Pembentukan Malaysia - 16 September 1963


Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Selepas merdeka, Tunku Abdul Rahman telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan British supaya Brunei, Sabah dan Sarawak digabungkan dengan Persekutuan Tanah Melayu menjadi Malaysia. Namun, Kerajaan British menolak cadangan itu kerana Singapura diketepikan. Sementara itu, Lee Kuan Yew, Ketua Menteri Singapura pada masa itu juga menyarankan percantuman Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu. Cadangan Lee Kuan Yew ditolak oleh Tunku Abdul Rahman.


Namun begitu, senario politik yang berlaku di Singapura mengubah sikapnya terhadap saranan Lee Kuan Yew. Pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya di Persidangan Wartawan-wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura mencadangkan supaya Brunei, Sabah, Sarawak dan Singapura digabungkan dengan Tanah Melayu membentuk Persekutuan Malaysia. Cadangan ini menimbulkan pelbagai reaksi. Pada 23 Julai 1961, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) ditubuhkan. JPPM memberi peluang kepada pemimpin di Sabah dan Sarawak untuk mengemukakan pandangan memandangkan mereka masih menentang gagasan.

Akhirnya Sabah dan Sarawak menerima gagasan ini dan menyusun satu memorandun untuk dihantar kepada Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya ini kemudian menjalankan tugasnya iaitu meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak dan membuat syor perlembagaan baru. Kemudian pada Ogos 1962, Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) ditubuhkan bagi merangka Perlembagaan Malaysia. JAK mengeluarkan laporannya pada 27 Februari 1963. Laporan ini diterima dan diluluskan. Berdasarkan laporan ini, Perjanjian Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai1963. Pada 16 September 1963, Malaysia diisytiharkan.

16 September 2008 - Mimpi dan Angan Tidak Sudah

Adakah mimpi dan angan-angan seorang mahkluk yang dilahirkan pada 10 Ogos, 1947 di Cherok To' Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang diberikan nama Anwar yang berketurunun Melayu dan semakin popular sekarang ini sebagai Pengkianat Bangsa ini akan berjaya menembusi Putrajaya pada tarikh 16 September ?

Amat kagum juga apabila Anwar pandai mengambil kesempatan ke atas sesuatu keadaan dan beliau juga berjaya mengatur mengeruhkan sesuatu keadaan dan dalam masa yang sama beliau bangkit sebagai pembela. Walaupun beliau menang di Permatang Pauh bukan bermakna beliau dapat merealisasikannya. Jikalau pun beliau berjaya melakukannya tapi kita sudah dapat lihat betapa liciknya beliau.


Mungkin kepada mereka-mereka yang kurang arif tentang sandiwara politik dan berfikiran pendek dipengaruhi dengan beliau. Bagi mereka-mereka yang masih lagi ingat pengorbanan nenek moyang yang bermatian memperjuagkan kemerdekaan daripada penjajah dan masih mahu generasi-generasi akan datang dapat menghirup dan merasai hak-hak kita yang telah termaktub didalam perlembagaan. Kita yang hanya perlu mempertahankan maruah bangsa dan agama kita dan tidak perlu memperjuangkan. Adakah susah untuk kita melakukan ? Tidak perlu kita terbawa-bawa dengan agenda pengkianat bangsa kerana ini amat merugikan kita. Biarkan beliau dengan cita-citanya yang tidak sudah itu. Adakah kita ingat bagaimana Palestin di jajah dan rakyatnya di hambat keluar daripada tanah air milik sendiri ? Sanggupkah kita mengalami keadaan seperti yang terjadi kepada bangsa Melayu di Singapura, bagaimana mereka dengan sengaja diketepikan dari semua aspek ?.

JANGAN biarkan diri anda di jajah dengan agenda yang menjahanamkan bangsa anda sendiri. Fikir-fikirkan dan khabar-khabarkan …..