PJ : Saya ucapkan ribuan terima kasih jika anda membaca pendapat peribadi yang ingin saya kongsikan bersama-sama dengan anda-anda semua. Saya hanya akan memaparkan komen-komen yang beretika sahaja.


Monday, June 30, 2008

Politik Semasa

Selepas pemecatan Dato Seri Anwar Ibrahim - DSAI sebagai TPM oleh Dr Mahathir pada tahun 1997, tercetusnya gerakan reformasi besar-besaran untuk mendapatkan keadilan dari segi perundangan di Malaysia. Pada waktu itu PKR belum di tubuhkan lagi sebagai parti politik akan tetapi ramai yang bersimpati dengan nasib yang menimpa DSAI. DSAI amat di segani dan di hormati oleh melayu kerana beliau di anggap seorang wira yang berani dan lantang bersuara demi nasib bangsa melayu. Beliau Juga mendapat sokongan daripada segelintir kaum bukan melayu. Masih saya ingat lagi laungan-laungan reformasi dan BARISAN KITA di dataran merdeka, di Jalan TAR dan Tun Perak menjadi medan perhimpunan setiap sabtu selepas waktu bekerja. Tidak lupa juga melihat kawan-kawan yang menyertai perhimpunan itu betempiaran lari masuk ke dalam pejabat akibat di kejar oleh SB - Special Branch atau di sembur air gatal oleh FRU.

Selepas beliau di bebaskan daripada penjara, orang melayu menaruh harapan yang besar terhadapnya. Boleh di katakan setiap ceruk kawasan di Malaysia beliau datang memberikan ceramah untuk meraih sokongan orang melayu sebagai persediaan untuk PRU12 termasuklah kampung saya.

Pada permerhatian saya, selepas keesokan hari selepas keputusan penuh PRU12, majoriti orang melayu merasakan tidak percaya yang pembangkang telah menguasai lima negeri yang mana kebanyakkan kerusi di menangi oleh bukan melayu termasuklah negeri saya sendiri. Memujuk hati sendiri " tidak mengapa " kita berikan peluang kepada mereka tetapi hari demi hari orang melayu merasakan seperti tertipu terutamanya oleh PAS dan PKR kerana membiarkan hak kita di rampas . Suara-suara lantang sudah berani mempersoalkan hak-hak keistimewaan orang melayu dan agama islam. Apa sudah jadi ?

Satu laporan polis terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri - DSAI itu dibuat pembantunya yang berusia 23 tahun di Balai Polis Travers. Saya berpendapat ia adalah satu taktik untuk memperolehi simpati orang melayu kerana beliau sudah dapat merasakan orang melayu sudah hilang sokongan terhadapnya. Beberapa hari sebelum PRU12 saya di beritahu oleh seorang rakan bukan melayu kerana tidak semua orang cina suka kepada DSAI, katanya " ini orang depan cakap lain, belakang dia cakap lain ". Oleh itu janganlah kita terpedaya dengan tipu helah politik yang semakin hari semakin pelik untuk mendapatkan sokongan dan simpati .Orang melayu haruslah berfikiran bijak untuk menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Jangan kita ulangi kesilapan yang lalu kerana ia ternyata merugikan bangsa kita.

Siapakah yang untung selepas PRU12, umum mengetahuinya.

GPMS bidas dalang forum kontrak sosial

KUALA LUMPUR 29 Jun - Penganjuran Forum Kontrak Sosial oleh Majlis Peguam disifatkan mempunyai agenda tersembunyi dan didalangi oleh pihak yang mempunyai kepentingan dalam situasi politik negara.

Sehubungan itu Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kuala Lumpur, Sobri Ahmad menggesa kerajaan menyiasat dalang di sebalik penganjuran forum tersebut dan mereka mesti dihukum kerana boleh menganggu gugat keamanan negara.
Beliau berkata, GPMS amat kesal dengan tindakan tersebut apatah lagi tiada ahli panel Melayu hadir dalam forum tersebut padahal hak ketuanan Melayu dipersoalkan.
''Tindakan mempersoalkan kontrak sosial itu sangat mendukacitakan kerana Majlis Peguam bukanlah badan yang mewakili suara kaum tertentu di Malaysia tetapi adalah badan yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal guaman.
''Mereka tidak patut persoalkan kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh para pejuang kemerdekaan dahulu,'' katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini hari ini.

Forum Kontrak Sosial anjuran Majlis Peguam disertai beberapa ahli panel antaranya Pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mavis Puthucheary, Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dr. Kua Kia Soong dan peguam, Tommy Thomas serta ahli akademik, Dr. Farish Noor.
Sementara itu, beliau memberitahu Majlis Peguam secara tidak langsung telah mencalarkan imej dan kredibiliti mereka sebagai sebuah badan profesional bila isu itu digunakan oleh pihak tertentu bagi mencapai tujuan politik.

''Adalah tidak perlu bagi mereka untuk jadi 'juara' kelompok tertentu yang sememangnya menanti peluang untuk memecah belahkan masyarakat seterusnya mencapai agenda politik mereka,'' katanya.

Sepatutnya, tegas Sobri, tumpuan diberi untuk menambah baik bidang kehakiman negara selain mengelak daripada mengutarakan apa jua isu yang boleh mengakibatkan ketidakstabilan politik dan mengancam keamanan negara.
''Mereka harus ikhlas dengan mengutarakan cadangan kepada kerajaan untuk kukuhkan perpaduan dan bukan sebaliknya,'' ujarnya.

Sunday, June 29, 2008

Oh MCA Oh Gerakan

Kalau di perhatikan sekarang ini parti komponen BN seperti MCA and Gerakan seakan-akan kaku, umum mengetahui selepas kekalahan BN di Penang, Koh Ksu Koon terang-terangan menyatakan bahawa beliau tidak mahu di lantik menjadi Senator yang akan membolehkan beliau menjadi menteri, begitu juga dengan Ong Kah Ting, walaupun menang tidak mahu menjadi menteri atas alasan mahu memperkukuhkan kedudukan BN. Hari ini semua suratkhabar menyatakan Presiden MCA, Datuk Seri 0ng Ka Ting dan Timbalannya, Tan Sri Chan Kong Choy semalam menghentikan pelbagai spekulasi dengan menegaskan tidak akan mempertahankan jawatan parti masing-masing pada pemilihan 18 Oktober depan. Mengapa ?

Pada pandangan saya, mereka tidak mahu memecah belahkan orang cina yang majoriti sekarang ini menyokong DAP. Mungkin di atas sebab ini mereka tidak kisah apa-apa pun kerana selepas PRU12, DAP mendapat sokongan kuat dan memperjuangkan apa yang mereka hajati selama ini dan mendapat markah bonus apabila memperolehi sokongan "Pengkianat Bangsa Melayu ".

Kerajaan Wajar Menentukan Harga Minyak Bagi Pasaran Dalam Negara

Rumah saya berdekatan dengan kedai pemasangan NGV dari permerhatian saya sebelum kenaikan harga minyak RM0.78 bagi petrol dan RM1.00 untuk diesel, saya mendapati kedai tersebut agak lenggang dan selalunya di tutup pukul 7 malam dan kebiasaanya di kunjungi oleh teksi-teksi sahaja. Sehari selepas kenaikan harga minyak diumumkan, saya mendapati kedai tersebut di serbu oleh kenderaan-kenderaan persendirian dan beroperasi sehingga 12 tengah malam kerana mendapat permintaan yang tinggi dari orang ramai.
Saya juga bercadang untuk membuat pertukaran ke NGV sebelum kenaikan harga minyak tetapi membatalkan niat tersebut setelah mengambil kira prinsip mikro ekomomi jika permintaan melebihi penawaran harga akan meningkat. Umum mengetahui di Malaysia hanya Petronas yang menawarkan NGV dan saya berpendapat harga NGV akan meningkat sedikit hari nanti. Harga minyak di dunia semakin hari semakin meningkat maka ramai penguna di dunia ini akan berailh kepada NGV.
Saya berpendapat adalah patut kerajaan menentukan harga minyak di dalam negara kita sendiri kerana Malaysia adalah salah sebuah negara pengeluar minyak dunia. Lebihan minyak yang di eksport ke luar negara di tentukan dengan harga pasaran dunia. Jika kerajaan mengikut harga pasaran dunia ia boleh menyebabkan kos kehidupan semakin hari semakin meningkat, para pekerja akan menuntut kenaikan gaji daripada majikan. Apabila majikan bersetuju menaikkan gaji pekerja-pekerjanya, kos pengeluaran akan meningkat dan seterusnya harga barang akan meningkat. Apabila kos pengeluaran menjadi tinggi, para pelabur luar negara akan bertindak memberhentikan operasi di Malaysia dan berpindah ke negara-negara lain yang menawarkan tenaga kerja murah bagi meminimunkan kos pengeluaran mereka. Jika ini terjadi, apakah nasib kepada rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu ?
Kesimpulanya, kerajaan wajar menentukan sendiri harga minyak di dalam negara bagi menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara ini.

Friday, June 27, 2008

Hak-hak Keistimewaan Orang Melayu

Hak-hak keistemewaan orang Melayu mengapa harus di pertikaikan dan mengapa mahu dihapuskan. Orang Cina dan India di Malaysia adalah kaum pendatang yang dibawa masuk oleh British ke Tanah Melayu. Oleh kerana kesanggupan dan kesediaan orang Melayu menerima mereka sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu sebagai prasyarat British memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Sebagai timbal balik kerana kesanggupan dan kesediaan apa yang disifatkan sebagai pengorbanan orang Melayu itu, perlembagaan memberi peruntukan khas kepada orang Melayu dalam bentuk hak istimewa dan ini dimaktubkan di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia). Persetujuan quid pro quo atau saling beri-memberi ini biasanya dipanggil Kontrak Sosial.
Tiada tarikh luput (expired date) seperti yang di nyatakan di dalam perlembagaan dan adalah jelas yang mengatakan hak keistimewaan orang Melayu akan di hapuskan pada suatu hari nanti. Ia telah di persetujui oleh Tuanku Abdul Rahman dan wakil-wakil kaum Cina dan India sebelum negara ini mencapai kemerdekaan dari Bristish. Jadi mengapa dengan ada suara-suara mahu ia di kaji semula untuk di tamatkan.

Saya berpendapat memang benar masa telah berubah dan kita sudah mencapai kemerdekaan sudah lima dekad akan tetapi orang melayu masih jauh di belakang. Jika hak-hak ketuanan orang melayu di hapuskan kita akan ketinggalan dari segi ekonomi dan pendidikan dan menyebabkan kita ketinggalan dari segala-galanya. Marilah kita mempertahankan hak kita dan dalam masa yang sama berusaha memperbaiki kedudukan kita agar dapat bersaing dengan bangsa-bangsa yang lain.


Wednesday, June 25, 2008

Laungan Hidup Melayu Tidak Perlu Dipertikaikan

Hidup Melayu yang menjadi laungan sebelum kemerdekaan hinggalah ke hari ini telah menjadi pertikaian beberapa pihak yang kononnya sudah lapuk dan harus di buang kerana tidak lagi relevan. Menurut pihak-pihak tersebut, negara ini sudah merdeka dan mengapa ia perlu di laungkan dan disemarakan lagi.
Permerhatian saya mendapati pertikaian slogan ini mendapat sokongan segelintir orang Melayu sendiri untuk kepentingan politik . Saya melabelkan individu-individu ini sebagai “Pengkianat Bangsa “. Sudah lupakah pengkianat bangsa ini yang bangsa mereka yang menentang penjajah sehinggalah berjaya mendapat kemerdekaan dari British. Bangsa manakah yang banyak terkorban demi mempertahankan negara ini ? Semua rakyat di Malaysia tahu realitinya iaitu Bangsa Melayu yang bertungkus lumus memerdekakan negara ini, mempertaruhkan nyawa tanpa mengira anak , isteri di rumah kerana di minda mereka ini hanyalah satu “ Walaupun aku mati, bangsa ku boleh hidup merdeka, negaraku bebas dari penjajah dan anak cucu ku akan menikmati hidup dengan selesa.
Adakah barang sesiapa yang melaungkan Hidup Melayu dilabelkan sebagai “ racist “ ? Saya berpendapat golongan ini mahu orang Melayu lupakan perjuangan datuk, moyang kita agar kita tidak mendapat apa-apa keistimewaan yang selama ini kita kecapi walaupun kita harus sedar ia semakin terhakis.

Saya berpendapat adalah tidak salah untuk sesuatu bangsa ini melaungkan samada Hidup Melayu, Hidup Cina, Hidup India dan berbagai laungan tapi mestilah bersesuaian dengan tempat dan keadaan sesuatu masa itu. Adalah tidak menjadi isu untuk kita mengenangkan sejarah bangsa kita kerana rakyat Malaysia masih berfikiran waras selagi tidak di laga-lagakan oleh golongan-golongan yang mempunyai motif yang tertentu

Monday, June 23, 2008

Isu Kenaikan Harga Makanan

Pada permerhatian saya kenaikan harga barangan terutamanya makanan telah memberi impak negatif kepada rakyat. Rakyat terpaksa membayar lebih kepada barangan yang di beli jika di bandingkan sebelum pilihanraya. Keadaan menjadi mendesak kepada golongan berpendapatan rendah terutamanya di sektor perkilangan yang mempunyai gaji asas yang rendah di bawah RM700 ringgit sebulan kerana mereka amat bergantung kepada elaun-elaun dan kerja lebih masa (overtime) bagi menampung perbelanjaan bulanan mereka.
Saya mendapati kebanyakkan sektor perkilangan telah menghadkan atau memberhentikan kerja lebih masa kepada para pekerja sebagai langkah berjimat cermat dan tempahan yang di terima amat berkurangan sekali. Perbelanjaan isirumah masih seperti biasa tetapi dengan pendapatan yang berkurangan dan kenaikan harga makanan telah menyebabkan golongan ini menghadapi tekanan hidup yang teruk.
Walaupun dengan mengubah gaya hidup dengan mengurangkan pembelian kepada yang perlu sahaja, wang yang dibayar masih lebih mahal kerana kenaikan harga barangan telah meningkat diantara 20-30% dan bagi makanan ruji di Malausia iaitu beras ia meningkat diantara 70-95%. Sebagai contoh semasa desas desus kekurangan bekalan beras diwar-warkan, saya ada membeli beberapa kampit beras daripada pasaraya di kawasan perumahan saya, pada masa itu beras jenama tersebut di beli pada RM19.90 dan selepas seminggu saya mendapati ia meningkat kepada RM23.45. Semalam saya mendapati jenama beras tersebut meningkat kepada RM38.90, ini bermakna ia meningkat hampir 100% daripada harga asal iaitu RM19.90 dalam masa dua bulan setengah.
Apa pilahan kita ? Jawapanya mudah kita tiada pilihan dan terpaksa membayar pada harga yang tinggi untuk barangan yang sama. Walaupun kerajaan telah menguatkuasakan harga siling bagi beras Super Special Tempatan lima peratus ditetapkan RM2.80 sekilogram, Super Special Tempatan 10 peratus RM2.70 sekilogram, manakala beras Super Tempatan 15 peratus pula kekal sebagai beras yang dikawal harga antara RM1.65 sekilogram dan RM1.80 sekilogram mengikut zon tetapi saya mendapati kebanyakan kedai dan pasaraya menjual beras yang di impot dari luar negara oleh BERNAS. Menurut kerajaan mereka tidak dapat mengawal harga beras yang di impot kerana ia mengikut pasaran dunia semasa. Mengapa ?
Pada pendapat saya adalah perlu Datuk Shahrir Samad dan kementeriannya turun padang memastikan harga barangan makanan tidak meningkat kepada harga yang tidak munasabah. Jika tidak harga barangan kita akaan terus naik di sebabkan penguatkuasaan dan pemantauan tidak di lakukan secara aktif dan hanya di lakukan sambil lewa atau melepaskan batuk di tangga sahaja. Kementerian Hal Ehwal Penguna seharus menyiasat apakah puncanya sesuatu barangan itu naik bukannya hanya mengkaji secara teori di atas kertas sahaja.

Sunday, June 22, 2008

Melayu perlu kuat - Jangan sampai terima nasib terpaksa musafir di bumi sendiri – Raja Nazrin


Kebimbangan Raja Dr Nazrin, Raja Muda Perak mengenai orang Melayu seperti yang di siarkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 22.06.2008. Kembalilah kita bersatu, walaupun kita majoriti penduduk Malaysia akan tetapi akibat perpecahan dan tujuan politik yang berbeza kita menjadi sebegitu kerdil sehinggakan tidak mampu mempertahankan hak kita.
KUALA KANGSAR 21 Jun – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah bangsa Melayu perlu kuat daripada segala aspek supaya terus gagah, berhati cekal, bersemangat waja dan berupaya mendaki gunung tinggi serta bertenaga menyeberangi lautan luas.
Titah baginda, adalah malang jika bangsa Melayu menerima nasib bagaikan dagang di kampung sendiri dan terpaksa bermusafir di bumi sendiri.
“Anak bangsa yang telah berjaya, janganlah berperangai seperti si Tenggang, terlalu cepat bersifat angkuh, terlalu mudah berlagak bongkak, hingga melupakan asal keturunan, hingga memisahkan diri dari akar bangsanya, menjadi rakus, menjadi gopoh, hingga tergamak menebang pohon tempat bernaung dan mencantas dahan tempat bergantung,’’ titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) 2008 di sini hari ini.
Raja Nazrin bertitah, kejayaan anak bangsa pada masa sekarang adalah atas pengorbanan, keringat, kesusahan dan usaha generasi terdahulu.
Titah baginda, bangsa yang dapat meneruskan kelangsungan dan mengekalkan tamadun agungnya adalah bangsa yang tidak memutuskan diri dengan akar sejarah, malah senantiasa menghargai pengorbanan generasi terdahulu.

Friday, June 20, 2008

PRU12

Selepas beberapa hari PRU12 yang lalu, saya ada bercakap dengan seorang pengusaha kedai berbangsa cina di kawasan kediaman saya mengenai keputusan pilihanraya. Saya bertanya kepada beliau " Wah, DAP menang besar kali ini, ya " dan beliau menyatakan betul DAP menang banyak. Dia juga memberitahu kepada saya orang Melayu pun mengundi DAP, itu sebab menang besar. Beliau juga menyatakan kepada saya majoriti dari dulu lagi orang Cina mengundi DAP dan berkata orang cina akan undi siapa yang boleh bekerja dan memberi manafaat kepada mereka.

Saya ada membuat beberapa analisa terhadap keputusan PRU12 yang lepas dan mendapati jika DAP bertanding di kawasan majoriti cina maka mereka akan menang besar dan jika calon PKR berbangsa melayu bertanding di kawasan mempunyai lebih kurang 50-50 penduduk melayu dan cina, calon BN adalah berbangsa cina , maka BN akan menang. Jadi saya berpendapat orang cina akan memberi undi jika orang cina bertanding dan lawannya adalah melayu atau india. Tepuk dada tanya selera. Kenapa kita harus berbangga PR menang tapi hakikatnya berapa orang kita yang menang, berapakah orang kita duduk dalam exco negeri Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Saya bukanlah racist tetapi tidak mahu bangsa kita hancur, hanyut dan diperlekehkan dan tidak sesekali berniat menyekat kemajuan bangsa lain.

Apa saya perhatikan sekarang, orang kita leka berpolitik, berkempen yang katanya untuk negara tapi sebaliknya meruntuhkan bangsa sendiri. Orang bertepuk tangan dan kita berasa megah akhirnya agenda kita hanyut begitu saja. Kepada sesiapa yang telah menang di PRU12 yang lalu tunaikan janji-janji anda dan berkerja keras demi kemakmuran negara.

Malay Reserved

Mahkamah telah mengisytiharkan DUN Sanglang - Perlis yang dimenangi oleh BN tidak sah. Saya berpendapat DUN Sanglang akan menjadi medan terhebat bagi BN dan PR untuk meraih undi kerana ia amat penting bagi kedua-dua pihak. BN akan cuba sedaya upaya untukmeraih sokongan orang Melayu dan membuktikan ia masih lagi relevan. Yang mana majoriti orang Melayu dalam kedudukkan serba salah kerana pemimpin-pemimpin Melayu masing-masing mempunyai agenda tersendiri. PR pula akan meningkatkan lagi sokongan rakyat kepada mereka.

Kekuasaan PR di lima buah negeri dalam mentadbirnya juga telah mendapat reaksi yang negatif dan positif daripada kaum Melayu. Kita boleh lihat bagaimana KM Pulau Pinang telah menghadiahkan tanah pajakan - leasehold tittle kepada pemilik-pemilik rumah kediaman dan pemilik kilang.Siapakah majoriti yang memiliki kediaman dan kilang tersebut ? Semua orang tahu jawapannya. Tanah-tanah ini dahulunya milik Kerajaan negeri akan menjadi milik kaum lain. Simpanan tanah Melayu-Malay reserved tidak di gunakan di Pulau Pinang jadi tanah boleh di jual kepada bangsa lain tanpa sekatan. Pada tahun lepas saya ada pergi ke Pulau Pinang dan terpandang beberapa papan tanda menyatakan tanah ini milik Allah, tiada sesiapa boleh mengambilnya. Kenapa mereka bertindak demikian ? Mungkin Pulau Pinang akan menjadi Singapura nombor 2, yang kehilangan segala-galanya dan akhirnya orang Melayu tinggal di rumah-rumah murah flat kerana tanah mereka telah habis tergadai.

Dapatkah PR menyatakan Malay Reserved dapat di pertahankan bagi menjamin orang Melayu masih bertanah untuk generasi-generasi yang akan datang? Peluang-peluang orang Melayu dalam sektor pendidikan dan pekerjaan terjamin ?

P/S : Jadilah kita orang Melayu bukannya meLAYU kerana sikap kita. Hidup Melayu tapi bukan hidup meLAYU

Melayu rugi berpecah

Saya amat bersetuju dengan kenyataan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah seperti yang disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini. Apa komen anda ?

KUANTAN 19 Jun - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melahirkan kebimbangan terhadap perpecahan di kalangan orang Melayu kerana ia boleh mendatangkan kesan yang merugikan masa depan kaum itu.
Baginda bertitah, apabila orang Melayu tidak bersatu, mereka seolah-olah menyerah dan melepaskan kuasa yang ada dan akhirnya boleh mengakibatkan bukan sahaja orang Melayu tidak relevan malah agama Islam juga terpinggir.
Sehubungan itu, Tengku Mahkota menyarankan agar perpaduan Melayu digerak dan diusahakan tanpa berlandaskan sebarang fahaman atau ideologi politik.
Dalam masa sama, baginda berharap, institusi raja Melayu tidak seharusnya dianggap musuh oleh pihak tertentu di negara ini sebaliknya perlu mempunyai semangat 'wujud bersama' bagi menjamin kesejahteraan dan kedaulatan negara.
Tengku Mahkota Pahang bertitah, adalah tidak adil sesetengah pihak mempertikaikan peranan raja-raja Melayu kerana kemakmuran dan kemajuan yang dikecapi negara ketika ini turut disumbangkan oleh golongan terbabit.
''Kita seharusnya memahami peranan kita sesama sendiri, bukan menjadikan institusi raja Melayu sebagai musuh pula. Saya berasa terkilan juga dengan pihak-pihak yang cuba mempersoalkan peranan raja-raja," titah baginda dalam satu wawancara yang disiarkan menerusi portal rasmi kerajaan negeri Pahang.
Baginda menegaskan, raja adalah penjaga negeri, pelindung hak orang Melayu dan ketua kepada semua kaum.
"UMNO patut mengambil kira tentang cara-cara untuk mengukuhkan institusi raja Melayu. Bukannya kita hendak kuasa lebih tetapi kita perlu kaji supaya institusi ini tidak boleh diperkotak-katik, dipersenda atau diperkecilkan oleh mana-mana pihak," titahnya.
Mengulas keadaan negara, tegas baginda, Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu menunjukkan seolah-olah cita rasa dan buah fikiran rakyat sudah berbeza dan ini yang mungkin Barisan Nasional (BN) dan pemimpinnya tidak menyedari atau terlepas pandang.

Thursday, June 19, 2008

Inflasi

Kenaikan harga minyak menyebabkan rakyat mengurangkan kuasa beli rakyatl dan ini akan menyebabkan ekonomi Malaysia mengalami penurunan yang ketara. Lihatlah sekarang ini indeks Bursa Saham Kuala Lumpur mengalami kejatuhan yang merundum jika dibandingkan dengan bursa-bursa yang lain. Pada permerhatian saya kita tiada tindakan proaktif daripada kerajaan maka kita akan mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk dan rakyat mengalami tekanan hidup yang memungkinkan keadaan huru-hara berlaku seperti demostrasi dan bantahan-bantahan daripada rakyat.

Kerajaan BN dan PR haruslah berganding bahu, mencari idea bagaimana jalan penyelesaian dan kaedah yang lebih efisien menangani isu ini bukannya berbalah dan bertikam lidah dan akhirnya merugikan rakyat. Rakyat telah mengundi anda maka anda haruslah menjalankan tanggungjawab anda bukannya membuang masa dengan perkara yang remeh temeh.

Kita Orang Melayu

Kenapa kita harus berpecah belah sebegini rupa, PAS dengan agendanya, Anwar dengan matlamatnya, UMNO yang berperang sesama sendiri. Mengapa ini terjadi ? Kita lupa asal usul kita, kita lupa siapa yang bergadai nyawa untuk merdeka dan kini bangsa kita menuju kehancuran.

Orang Melayu kita suda hilang pedoman, lupa sejarah dan tidak tahu apa di benak fikirannya sedangkan orang lain amat menanti kehancuran bangsa kita.Marilah kita umat melayu di Malaysia ini bersatu hati, bergandingan tangan dan memulihkan bangsa kita dan tunjukkan yang kita bangsa hebat bukannya meLAYU di tanah air sendiri.

Kita sudah ketinggalan jauh daripada bangsa lain kenapa kita hendak mementingkan agenda politik sedangkan bangsa kita tidak tentu arah ketinggalan daripada segala-galanya.